Monday, February 18, 2008

PPIM bantu kawal jenayah

PPIM bantu kawal jenayah

KUALA LUMPUR - Dengan niat mengurangkan kadar jenayah di Pangsapuri Bukit Baru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) buat pertama kalinya memperkenalkan program Home Security kelmarin.

Program itu turut melibatkan Rakan Cop serta Persatuan Penduduk Pangsapuri Bukit Baru yang bakal mewujudkan satu komuniti berkonsepkan Rukun Tetangga.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, penubuhan Home Security itu bertujuan mengembalikan semula semangat kejiranan yang semakin berkubur.

"Program ini akan memberi kesan kepada seluruh penghuni pangsapuri mengurangkan kadar jenayah dan kes kecurian yang sering berlaku.

"Ia tiada percanggahan dengan Rakan Cop, cumanya kami mahu dengan penubuhan Home Security, keselamatan di sini akan lebih terjamin," katanya yang ditemui selepas merasmikan program itu.

Selain itu, tambah Ma'amor, pihaknya sedang melatih seramai 20 orang Unit Tindakan Khas PPIM dalam menjalankan tanggungjawab mereka mengawal kawasan perumahan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, PPIM turut dibantu 3,000 ahli kumpulan motosikal yang juga berperanan penyebar maklumat kepada polis sekiranya berlaku sesuatu kejadian buruk di kawasan berkenaan.

"Sekiranya ada masalah, penduduk boleh hubungi Rakan Cop Selangor dan Wilayah Persekutuan, talian aduan PPIM atau talian aduan persatuan penduduk yang tertera pada plak yang kami letakkan di beberapa sudut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Pangsapuri Bukit Baru, Hairi Zin Hashim, sepanjang empat tahun pangsapuri kos sederhana itu didiami, tiada sebarang kejadian jenayah berat berlaku.

"Tak ada yang serius setakat ini..tapi kalau boleh kita tak mahu lagi ada kes kecurian, pecah rumah atau sebagainya di pangsapuri ini.

"Saya harap dengan adanya program ini, penduduk akan sentiasa bekerjasama dalam menjaga keharmonian dan keselamatan di sini demi keselamatan semua pihak," jelasnya.

No comments: